Shariah

2

min read

Zakat Unit Amanah

Zakat harta hari ini menjadi lebih kompleks dengan kemunculan pelbagai jenis harta baik harta itu dalam bentuk fizikal seperti emas, mahu pun harta digital seperti Bitcoin. Keharusan membeli dan menjual sesuatu harta atau instrumen pelaburan itu biasanya digandingkan dengan kewajipan membayar zakat ke atasnya. Berdasarkan pengalaman sekalu agen unit amanah, ada satu jenis zakat yang sering dilupakan dalam pengiraan zakat iaitu zakat unit amanah atau Unit Trust. Malah tidak semua pihak berkuasa zakat memaparkan kalkulator zakat Unit Amanah secara jelas dalam laman web mereka. Antara yang memaparkannya adalah laman web Lembaga Zakat Selangor (LZS) dibawah perkara Zakat Saham.

Share article

Zakat merupakan rukun Islam yang ketiga dalam Islam. Di dalam Al-Quran ia selalu digandingkan dengan perintah dirikanlah solat. Ulama sebut antara hikmah gandingan tersebut adalah supaya ia menyedarkan kita bahawa kehidupan kita di dunia mempunyai dua tanggungjawab, pertamanya kepada Allah dan keduanya kepada sesama manusia.

Zakat harta hari ini menjadi lebih kompleks dengan kemunculan pelbagai jenis harta baik harta itu dalam bentuk fizikal seperti emas, mahu pun harta digital seperti Bitcoin. Keharusan membeli dan menjual sesuatu harta atau instrumen pelaburan itu biasanya digandingkan dengan kewajipan membayar zakat ke atasnya.

Berdasarkan pengalaman sekalu agen unit amanah, ada satu jenis zakat yang sering dilupakan dalam pengiraan zakat iaitu zakat unit amanah atau Unit Trust. Malah tidak semua pihak berkuasa zakat memaparkan kalkulator zakat Unit Amanah secara jelas dalam laman web mereka. Antara yang memaparkannya adalah laman web Lembaga Zakat Selangor (LZS) dibawah perkara Zakat Saham. Rujuk: https://www.zakatselangor.com.my/zakat-saham/

Berdasarkan panduan LZS, zakat Unit Amanah dikenakan ke atas nilai pelaburan semasa sekiranya melebihi Nisab (nilai minimum bersamaan 85 gram emas yang ditentukan oleh pihak berkuasa zakat negeri masing-masing) di hujung Haul (tempoh setahun) tambah keuntungan ditunaikan (realized profit) dengan tolakan berikut:

1.    Kos Transaksi atau Kos Brokeraj;

2.    Dividen Pelaburan tidak patuh Shariah;

3.    Peningkatan modal (capital appreciation) pelaburan tidak patuh Shariah; dan

4.    Jumlah bayaran ansuran tahun kiraan bagi pembiayaan yang dibuat bagi pelaburan dalam Unit Amanah

Kadar Nisab yang ditentukan oleh LZS bagi tahun 2020 adalah RM 18,510.7. Nilai semasa Dana Barakah contohnya pada 31 Disember 2020 iaitu hari bayaran zakat adalah RM20,000 lebih daripada kadar Nisab, maka zakat dikenakan.

Cara kiraanya RM20,000 x 2.5%, maka nilai zakat adalah RM500.00. Itulah cara kiraan mudah bagi zakat Unit Amanah.

Sekiranya prestasi unit amanah kita negatif sekalipun, andai ia melebihi kadar Nisab, maka zakat dikenakan.

Membayar zakat memastikan harta berlegar dalam kalangan masyarakat yang memerlukan dan membayar zakat ke atas pelaburan kita menjadikan kita sentiasa sebagai pelabur sentiasa memantau prestasi pelaburan dan akan sedaya upaya mencari pulangan pelaburan yang mengatasi kadar 2.5% supaya kita dapat merasa keuntungan.

Bagi seorang agen Unit Amanah, menjadi tanggungjawab anda mengingatkan klien anda tentang tanggungjawab zakat dan bagi seorang klien andai agen anda tidak mengingatkan anda, ingatkanlah dia. Semoga harta kita diberkati dan terus berkembang demi masa depan kita dan masyarakat.

Arham Merican

5 Mac 2021

Ditulis oleh

Ditulis oleh

Ditulis oleh

Arham Merican

Arham Merican adalah seorang Penasihat Shariah berdaftar di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Beliau merupakan Pegawai Strategi Sharlife Sdn Bhd dan Pengasas Sampul, aplikasi wasiat digital untuk aset digital. Berpengalaman lebih 8 tahun dalam dunia korporat dan industri kewangan dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Jabatan Shariah, Bursa Malaysia Berhad.

Artikel-artikel oleh

Arham Merican

TIDAK mahu tertinggal?

Dapatkan artikel terkini terus ke emel anda