Kewangan

3

min read

Bank Patuh Shariah Lebih Mahal?

“Apa yang Islamiknya kalau lagi mahal daripada bank konvensional?”

Share article

“Apa yang Islamiknya kalau lagi mahal daripada bank konvensional?”

Antara kritikan biasa kepada perbankan Islam ialah mengenakan harga yang lebih tinggi. Lalu kesimpulan dibuat ialah perbankan Islam dengan perbankan konvensional ini sama sahaja.

Ini antara soalan yang sering ditanya khususnya anak muda yang baru nak hidup dengan memohon pembiayaan bagi membeli kereta atau pun rumah.

Ada tanggapan yang berpendapat perbankan Islam tak patut meletakkan harga yang lebih tinggi atau mahal berbanding perbankan konvensional, kerana itu adalah menindas dan menindas itu riba. Maaflah, kami belum jumpa lagi sebarang dalil yang mengatakan mahal = menindas = riba.

Sebenarnya riba tidak semestinya menindas. Contoh, pinjam RM100,000 kena bayar balik RM100,010. Lebihan RM10 tadi tetap riba.

Tahu tak dalam perbankan Islam ada konsep pinjam RM100,000 bayar balik RM100,000 (Qardhul Hassan)? Cuma konsep ini belum lagi dapat diperkenalkan secara meluas oleh perbankan Islam. Jika ada pun, mungkin pembiayaan mikro yang melibatkan jumlah yang kecil.

Artikel ini akan cuba menjawab ringkas dengan merujuk lampiran penerangan produk pembiayaan rumah Bank Islam sebagai contoh.

Kita ambil contoh berdasarkan gambar di atas, pembelian rumah berharga RM350,000 dengan margin 90%. Kita akan dapat pembiayaan sebanyak RM315,000 dan tempoh pembiayaan selama 30 tahun. Kadar untung siling adalah 10.75% setahun. Maka nilai hutang akan menjadi RM1.17 juta.

Fuh, netizen pasti mengamuk. Mengapa nilai hutang menjadi RM1.17 juta? Zalimnya Bank Islam!

Sebelum kita mengamuk, kita harus meneruskan pembacaan kita ke atas lampiran produk itu. RM1.17 juta itu adalah kadar maksima, maksima ya, yang akan kita bayar kepada bank.

Hakikatnya yang betul-betul dicaj setiap bulan adalah yang disebut sebagai Kadar Untung Efektif/ Effective Profit Rate pada kadar BR (2.52%)+0.73% = 3.25% seperti yang ditunjuk di atas.

Apa kesannya?

Kadar pembayaran sebulan adalah sebanyak RM1,523.22 dan jumlah setelah 30 tahun dengan kadar Keuntungan Efektif yang tidak berubah akan menjadi RM548,359.29. Separuh daripada jumlah siling RM1.17 juta tadi.

Andai Base Rate atau Kadar Asas berubah, naik 1 atau 2% misalnya, jumlah akhir tetap tidak capai RM1.17 juta.

Bagi mereka yang dalam bidang ekonomi, mereka akan tahu bahawa Kadar Asas ini berubah berdasarkan turun naik OPR atau kadar faedah yang ditetapkan oleh Bank Negara. Jika kita tengok sejarah, kadar faedah pernah mencapai 8.5% tahun 99 dan 6.9% tahun 97.

Maka sebagai Bank patuh Shariah, jumlah hutang yang terhasil daripada jualan mesti jelas tidak boleh ada unsur gharar (ketidakpastian) mengikut perubahan OPR tadi, maka nilai maksima atau siling tadi digunakan.

Syarat pada bank, tidak boleh menerima lebihan dari kadar maksima tadi. Adapun begitu, ia tidak bermaksud pelanggan akan dikenakan kadar maksima itu.

Seterusnya andai kita hanya perlu bayar separuh, apa berlaku pada separuh nilai berbaki?

Di sini adanya mekanisma Ibra atau Rebat dalam bahasa Melayu. Di mana bank diwajibkan oleh Bank Negara Malaysia untuk melepaskan hak lebihan yang tidak dikutip tadi di akhir pembiayaan atau sekiranya kita membuat bayaran awal.

Berbeza dengan Bank Konvensional, mereka boleh mengubah kadar hutang mengikut perubahan OPR dan Kadar Asas. Cuma ada klausa yang meminta mereka membuat makluman awal kepada penghutang. Di sini wujudnya unsur Riba akibat pertambahan kadar hutang yang dikontrakkan awal-awal.

Begitulah sedikit sebanyak penerangan terhadap salah faham terhadap beza kadar hutang di bank konvensional dan patuh Shariah.

Janganlah kita cepat meloncat melihat satu angka tanpa melihat perincian produk dan kiraan. Marilah sama-sama kita mengamalkan sikap berhati-hati dan membuat penelitian sebelum membuat apa-apa keputusan kewangan.

Arham Merican

9 Feb 2024

Ditulis oleh

Ditulis oleh

Ditulis oleh

Arham Merican

Arham Merican adalah seorang Penasihat Shariah berdaftar di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Beliau merupakan Pegawai Strategi Sharlife Sdn Bhd dan Pengasas Sampul, aplikasi wasiat digital untuk aset digital. Berpengalaman lebih 8 tahun dalam dunia korporat dan industri kewangan dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Jabatan Shariah, Bursa Malaysia Berhad.

Artikel-artikel oleh

Arham Merican

TIDAK mahu tertinggal?

Dapatkan artikel terkini terus ke emel anda