Kewangan

2

min read

Zakat Pengeluaran I-Lestari KWSP

Antara jenis pengeluaran yang tertakluk pada zakat adalah pengeluaran ketika umur 50, 55, atau 60, pengeluaran ketika meninggalkan negara, pengeluaran pekerja pencen atau pesara pilihan, dan pengeluaran melebihi RM1 juta.

Share article

Tahun 2020 merupakan tahun yang penuh dengan perbincangan kewangan. Isu moratorium, Bantuan Prihatin Nasional, Belanjawan 2021, dan yang menjadi isu polemik adalah tentang pengeluaran wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP).

April tahun lalu, KWSP memperkenal skim i-Lestari yang memberi kemudahan kepada pencarum mengeluarkan RM500 sebulan selama 12 bulan dengan jumlah RM6000. Anggaran kerajaan skim ini akan memanfaatkan hampir 4.7 juta pencarum dengan nilai RM11.6 bilion.

Walaupun i-Lestari bertujuan membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemic COVID-19, tidak kurang ramai yang mengambil kesempatan membincangkan pengeluaran i-Lestari bagi tujuan-tujuan lain seperti memperbaiki aliran tunai semasa dan membuat pelaburan.

Di sini timbul satu persoalan berhubung status Zakat pengeluaran i-Lestari. Melihat keputusan Jawatankuasa Penasihat Shariah (JKPS) KWSP, zakat hanya dikenakan ke atas simpanan yang layak dikeluarkan dan digunakan tanpa sekatan pada kadar 2.5% tertakluk kepada Nisab (kadar minimum bersamaan 85 gram emas) yang ditentukan oleh pihak berkuasa zakat negeri masing-masing.

Antara jenis pengeluaran yang tertakluk pada zakat adalah pengeluaran ketika umur 50, 55, atau 60, pengeluaran ketika meninggalkan negara, pengeluaran pekerja pencen atau pesara pilihan, dan pengeluaran melebihi RM1 juta.

Manakala pengeluaran yang tidak tertakluk pada zakat adalah seperti berikut:

-       Pengeluaran bagi memenuhi keperluan asas (hajah asliyyah) seperti pengeluaran berkaitan pemilikan kediaman (iaitu pengeluaran membeli/membina rumah, pengeluaran mengurangkan/ menyelesaikan baki pinjaman perumahan dan pengeluaran ansuran bulanan pinjaman perumahan, pendidikan, kesihatan dan hilang upaya.)

-       Pengeluaran haji yang bertujuan untuk menampung perbelanjaan asas mengerjakan ibadah Haji bagi ahli beragama Islam.

-       Pelaburan di bawah Skim Pelaburan Ahli (SPA) yang masih di bawah kawalan KWSP iaitu ahli yang belum mencapai umur 55 tahun atau belum mengeluarkan semua simpanan ahli.

JKPS juga membuat ketetapan bahawa bagi yang menggunakan pengeluaran bagi membayar hutang, zakat hanya dikenakan ke atas baki pengeluaran setelah ditolak bayaran hutang sekiranya mencapai Nisab.

Maka bagaimana pula dengan pengeluaran i-Lestari?

Berdasarkan Soalan Lazim i-Lestari (boleh rujuk: https://www.kwsp.gov.my/ms/faq-i-lestari) yang dikeluarkan oleh pihak KWSP, pihak JKPS telah menetapkan bahawa pengeluaran i-Lestari bagi tujuan menampung Hajah Asliyah tidak dikenakan zakat. Apa itu Hajah Asliyah?

Hajah Asliyah adalah keperluan asas seperti makanan pakaian,tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan. Bagi pengeluaran untuk tujuan-tujuan ini adalah dikecualikan zakat. Ia konsisten dengan keputusan umum JKPS berhubung zakat ke atas simpanan KWSP.

Namun bagipengeluaran bukan disebabkan Hajah Asliyah contohnya mengambil peluang pengeluaran bagi membuat pelaburan, maka zakat dikenakan pada kadar 2.5% sekiranya mencapai Nisab dan tidak tertakluk kepada Haul (tempoh setahun).

Nilai pengeluaran itu boleh dimasukkan sebagai pendapatan lain dalam kalkulator zakat untuk dikira sebagai zakat bulanan atau tahunan berdasarkan cara kiraan masing-masing.

Setakat artikel ini ditulis, pihak KWSP belum mengeluarkan Soalan Lazim perihal zakat. Semoga kita mengambil berat perihal zakat ke atas harta kita agar harta kita diberkati dan terus berkembang selain memberi manfaat kepada mereka yang kurang bernasib baik dalam kalangan kita.


Arham Merican

13 Mac 2022

Ditulis oleh

Ditulis oleh

Ditulis oleh

Arham Merican

Arham Merican adalah seorang Penasihat Shariah berdaftar di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Beliau merupakan Pegawai Strategi Sharlife Sdn Bhd dan Pengasas Sampul, aplikasi wasiat digital untuk aset digital. Berpengalaman lebih 8 tahun dalam dunia korporat dan industri kewangan dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Jabatan Shariah, Bursa Malaysia Berhad.

Artikel-artikel oleh

Arham Merican

TIDAK mahu tertinggal?

Dapatkan artikel terkini terus ke emel anda