Shariah

2

min read

Zakat Emas Panduan Ringkas

Asas pertama yang harus kita tahu adalah Zakat Emas dikenakan bagi pemilikan emas lebih 85 gram tidak kira fizikal atau pemilikan atas talian dalam konteks hari ini.

Share article

Emas merupakan jenis pelaburan yang banyak diperkatakan tahun 2020. Ini kerana prestasi harga emas menunjukkan prestasi yang positif terutama dalam prospek ekonomi yang suram akibat pandemic COVID-19.


Prestasi emas 2020 mencapai paras tertinggi sejak 10 tahun lalu menjadikan ramai berlumba-lumba menyertai pelaburan ini baik mendapatkan emas fizikal mahu pun secara digital melalui platform pelbagai seperti HelloGold yang disahkan Shariah.

Tidak kurang yang menjadikan prestasi memberansangkan ini sebagai cara membuat scam dan penipuan jualan emas tanpa fizikal. Perlunya untuk kita berhati-hati.

Sebagai pelabur tidak kira jenis emas yang dilaburkan sama ada fizikal atau secara digital atas talian, janganlah kita lupa terhadap tanggungjawab zakat emas kita. Zakat emas merupakan zakat yang paling lama berbanding zakat harta-harta lain memandangkan emas telah wujud sekian lama sejak zaman Rasulullah malah sebelumnya ia menjadi lambang kekayaan manusia abad demi abad.

Rujukan yang komprehensif terhadap kiraan Zakat Emas adalah berdasarkan laman web Lembaga Zakat Selangor. Rujuk: https://www.zakatselangor.com.my/zakat-emas/

Asas pertama yang harus kita tahu adalah Zakat Emas dikenakan bagi pemilikan emas lebih 85 gram tidak kira fizikal atau pemilikan atas talian dalam konteks hari ini.

Asas kedua adalah emas perhiasan yang dipakai oleh wanita tidak dikenakan zakat, namun ada syaratnya iaitu nilainya tidak melebihi kadar kebiasaan atau disebut sebagai Uruf. Kadar uruf emas berbeza berdasarkan negeri masing-masing. Bagi Wilayah Persekutuan dan negeri Selangor ialah sebanyak 800 gram. Bagi mereka yang mempunyai emas melebihi kadar 800 gram, haruslah membayar zakat ke atas lebihan itu.

Contoh:

[(Berat emas – Uruf) x harga emas semasa x 2.5%]

(900 gram – 800 gram) x RM144.38 = RM14,438 x 2.5% = RM360.95

Perhiasan juga merujuk kepada perkakas rumah atau perabot dan emas yang tidak dipakai sekian lama yang dibiarkan di dalam simpanan sebagai contoh emas perhiasan pusaka. Ia termasuk dalam kiraan zakat emas.

Kes lain adalah emas yang dicagar di kedai pajak. Kiraannya mengambil kira nilai pinjaman dan upah simpan yang dikenakan.

Contoh:

[(Berat emas semasa x harga semasa) – Nilai Pinjaman – Upah Simpan] x 2.5% = Jumlah Zakat

[(200 gram x RM144.38= RM28,876) – RM10,000 – RM76] x 2.5% = RM470

Bagi isu sijil pelaburan emas yang biasa ditawarkan di bank-bank, apa-apa produk emas di bank konvensional adalah tidak patuh Shariah kerana ia tidak memberi pemilikan sebenar kepada fizikal emas, maka zakat tidak dikenakan. Zakat hanya dikenakan ke atas akaun atau sijil pelaburan emas di bank patuh Shariah seperti yang ditawarkan di Al-Rajhi Bank, Kuwait Finance House, Bank Rakyat, Bank Muamalat, dan Affin Islamic Bank.

Bagi pelabur tegar emas, kiralah zakat emas anda. Semoga harta kita diberkati, terus berkembang dan memberi manfaat buat diri, keluarga, dan masyarakat.

 

Arham Merican

2 Jan 2021

Ditulis oleh

Ditulis oleh

Ditulis oleh

Arham Merican

Arham Merican adalah seorang Penasihat Shariah berdaftar di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Beliau merupakan Pegawai Strategi Sharlife Sdn Bhd dan Pengasas Sampul, aplikasi wasiat digital untuk aset digital. Berpengalaman lebih 8 tahun dalam dunia korporat dan industri kewangan dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Jabatan Shariah, Bursa Malaysia Berhad.

Artikel-artikel oleh

Arham Merican

TIDAK mahu tertinggal?

Dapatkan artikel terkini terus ke emel anda