Ekonomi

3

min read

Tiga Fenomena Spekulasi Pasaran

Satu kertas kajian oleh dua pensyarah ekonomi, David Tuckett dan Richard Taffler membuat kesimpulan bahawa gelembung-gelembung ini mempunyai faktor yang sama iaitu sifat manusia yang cepat teruja dengan fenomena baru. Mereka akan berasa puas jika menjadi sebahagian daripada fenomena ini apatah lagi mendapat untung di atasnya sehingga sanggup mengenepikan logik dan asas berfikir. 

Share article

Dalam tulisan ini, saya ingin berkongsi tentang tiga fenomena spekulasi yang pernah direkodkan dalam sejarah. Semoga ia menjadi pedoman buat kita semua khususnya pelabur yang ghairah ingin mengejar keuntungan segera tanpa asas ilmu pelaburan yang betul.

 

1. Tulip and Bulb Craze Bubble

Fenomena Tulip and Bulb Craze ini berlaku daripada tahun 1634 hingga 1637 di Holland. Apa yang berlaku adalah masyarakat di Holland ketika itu telah menjadi ‘gila’ mengumpul kuntuman Tulip untuk dijadikan aset. Harganya ketika itu paling rendah bersamaan harga seulas bawang dan paling tinggi sekuntum Tulip mampu membeli sebidang tanah.

Ianya bermula pada tahun 1593 apabila sejenis Tulip dibawa daripada Turki ketika itu dan Tulip itu diserang sejenis virus tidak berbahaya yang dinamakan sebagai ‘mosaic’. Virus tersebut telah menjadikan corak Tulip itu lebih menarik dan cantik.

Maka ketika itu, melihat jenis Tulip yang luar biasa ini, ramai yang berusaha memilikinya. Ia telah menyebabkan permintaan (demand) terhadapnya meningkat mendadak dan hasilnya harganya turut meningkat. Kenaikan harga itu mendorong lebih ramai orang memilikinya dengan harapan akan ada orang lain yang akan mahu membelinya.

Perkara ini berterusan termasuklah mereka yang mengambil kesempatan ke atas keinginan orang di luar Holand yang turut menunjukkan minat tetapi tidak tahu akan harga pasaran Tulip ini dan menyebabkan berlakunya spekulasi harga.

Akhirnya pada tahun 1637, beberapa pihak yang mula sedar akan fenomena tidak normal ini bertindak menjual kuntuman Tulip mereka, seterusnya menyebabkan ramai orang panik dan menjual Tulip mereka juga. Ini telah menyebabkan penawaran (supply) Tulip meningkat dengan begitu pantas dan akhirnya harganya jatuh mendadak dan pada ketika itulah gelembung pecah.

2. Dotcom Bubble

Fenomena Dotcom berlaku pada tahun 1990-an. Ia berlaku di saat semua orang menjadi ‘gila’ dengan kemunculan syarikat-syarikat teknologi baru yang terus menawarkan saham mereka di NASDAQ tanpa sebarang bukti pencapaian dan keuntungan. Ramai berlumba-lumba mendapatkan saham syarikat-syarikat ini yang kebanyakannya menggunakan nama .com di belakang.

Pembelian saham-saham ini disebabkan kemudahan mendapatkan pinjaman dan modal, terlalu yakin dengan masa depan industri teknologi ketika itu dan spekulasi. Semakin hari harga saham-saham dikaunter teknologi semakin naik. Lebih ramai tertarik, masuk membeli saham ini dan harga terus naik. Ramai yang melabur tanpa melihat asas kewangan dan prestasi syarikat, hanya berdasarkan sentimen baik pasaran industri teknologi yang dijangka terus berkembang hari esok.

Setelah lima tahun, akhirnya pada tahun 2000 ketika prestasi kaunter saham teknologi adalah di tahap tertinggi, beberapa syarikat besar seperti Dell dan Cisco telah menjual saham-saham mereka secara besar-besaran. Tindakan ini telah menimbulkan panik dalam kalangan banyak pihak lantas masing-masing mula menjual saham mereka. Akhirnya penawaran saham-saham ini meningkat dengan begitu pantas dan akhirnya harganya jatuh mendadak dan pada ketika itulah gelembung pecah.

3. Beanie Babies Bubble

Ini antara fenomena yang pelik tetapi coraknya sama. Berlaku lebih kurang waktu yang sama dengan Dotcom Bubble. Ty Inc, nama syarikat yang menghasilkan patung mainan dengan menggunakan butiran plastik diasaskan oleh Ty Warner.

Strategi pemasaran Warner berhasil sehingga menyebabkan rakyat US menjadi ‘gila’ dengan produknya yang dikeluarkan secara berperingkat mengikut jenis, dalam kuantiti yang terhad dan hanya dijual kepada beberapa syarikat untuk dijual kembali pada orang ramai. Ia adalah perkara yang baru dan ramai inginkannya sehingga ada kes saling berbunuhan.

Ty Inc berjaya membuat USD 1 billion dan pernah satu ketika, transaksi jual beli Beanie Babies mendominasi 10%pasaran E-Bay. Ramai mengambil kesempatan ke atas Beanie Babies sehingga harganya daripada USD 5.00 boleh mencecah ribuan USD melalui bidaan. Ia berterusan dan menyebabkan semakin hari semakin ramai yang inginkannya untuk membuat untung di atas jualannya kepada pihak lain.

 

Akhirnya pada akhir 1990-an, Ty Inc mengumumkan bahawa Beanie Babies tidak lagi akan dikeluarkan. Langkah ini diharapkan akan menyebabkan harga Beanie Babies semakin meningkat disebabkan kurangnya penawaran dan meningkatnya permintaan dalam pasaran tetapi sebaliknya berlaku apabila ramai yang mula menjualnya kembali. Seperti biasa, penawaran Beanie Babies meningkat dengan begitu pantas dan akhirnya harganya jatuh mendadak dan pada ketika itulah gelembung pecah.

 

Renungan

 

Satu kertas kajian oleh dua pensyarah ekonomi, David Tuckett dan Richard Taffler membuat kesimpulan bahawa gelembung-gelembung ini mempunyai faktor yang sama iaitu sifat manusia yang cepat teruja dengan fenomena baru.

 

Mereka akan berasa puas jika menjadi sebahagian daripada fenomena ini apatah lagi mendapat untung di atasnya sehingga sanggup mengenepikan logik dan asas berfikir.

 

Maka persoalannya, adakah wujud perbezaan dalam fenomena yang mendominasi pasaran hari ini?

 

Kata Imam al-Ghazali yang mafhumnya bermaksud maslahah (kebaikan) dan mafsadah (keburukan) sesuatu perkara boleh diketahui dengan akal dan percubaan orang lama (sejarah).

 

Renungkan dan jangan sampai kita ‘terciduk’ dalam gelembung pasaran.

Arham Merican

1 Mac 2024

Ditulis oleh

Ditulis oleh

Ditulis oleh

Arham Merican

Arham Merican adalah seorang Penasihat Shariah berdaftar di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Beliau merupakan Pegawai Strategi Sharlife Sdn Bhd dan Pengasas Sampul, aplikasi wasiat digital untuk aset digital. Berpengalaman lebih 8 tahun dalam dunia korporat dan industri kewangan dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Jabatan Shariah, Bursa Malaysia Berhad.

Artikel-artikel oleh

Arham Merican

TIDAK mahu tertinggal?

Dapatkan artikel terkini terus ke emel anda