Kewangan

2

min read

Risiko Tidak Patuh Shariah Dalam Pelaburan

Ini adalah ringkasan sembilan risiko biasa yang disebut dalam mana-mana dokumen pelaburan khususnya bagi pelaburan unit amanah. Namun, di Malaysia terdapat satu jenis risiko pelaburan yang wujud yang perlu diketahui oleh pelabur khususnya pelabur Muslim. Risiko itu adalah risiko ketidakpatuhan Shariah atau Shariah Non-Compliance Risk. Risiko ini merujuk kepada beberapa isu antaranya: 1. Ketidakmampuan penasihat Shariah bersepakat menentukan status Shariah seseuatu pelaburan oleh syarikat pengurus dana.

Share article

Seorang pelabur saham atau unit amanah (unit trust) yang berpengalaman tentunya biasa membaca prospektus dana atau syarikat, info memo, dan lampiran penerangan produk (product highlight/disclosure sheet). Dalam dokumen ini akan diperincikan pengurusan, jenis pelaburan, strategi, dan sebagainya.

 

Antara yang biasa dinyatakan adalah tentang risiko-risiko pelaburan tersebut. Terdapat sembilan risiko biasa yang disebut dalam dokumen-dokumen ini secara ringkas seperti berikut:

 

1.    Risiko Pasaran (Market Risk) – bawah risiko ini terdapat tiga jenis risiko utama yang berkaitan:

 

-       Risiko ekuiti (Equity Risk) – merujuk kepada kenaikan dan penurunan harga sekuriti ekuiti dalam pasaran yang tidak mampu dikawal dan tertakluk kepada pelbagai faktor.

 

-       Risiko kadar faedah (Interest Rate Risk) – ada beberapa syarikat yang menawarkan dana patuh Shariah menggunakan istilah Risiko Kadar Keuntungan (Profit Rate Risk) merujuk kepada perubahan kadar faedah dalam pasaran yang memberi kesan kepada nilai bon atau Sukuk bagi dana patuh Shariah.

 

-       Risiko Matawang (Currency Risk) – merujuk kepada perubahan nilai mata wang terutama bagi dana yang mempunyai pendedahan kepada pelaburan di luar negara dan melibatkan pelaburan dalam matawang berbeza.

 

2.    Risiko Kecairan (Liquidity Risk) – merujuk kepada risiko pelabur di mana pelabur akan mengalami kehilangan modal pelaburan akibat tidak mampu menjual unit pelaburan pada harga yang sama atau lebih berbanding harga belian apabila terpaksa menjual unit dalam keadaan mendesak.  

 

3.    Concentration Risk – merujuk kepada pelaburan yang tertumpu kepada satu jenis pelaburan sahaja.

 

4.    Risiko Kredit (Credit Risk) – merujuk kepada ketidakmampuan penerbit bon/Sukuk membayar pulangan kepada pelabur akibat bankrap atau sebagainya.

 

5.    Reinvestment Risk – merujuk kepada kehilangan atau kerugian modal pelaburan akibat pelaburan semula ke dalam instrumen pelaburan seperti bon atau Sukuk yang mempunyai kadar pulangan lebih rendah.

 

6.    Risiko Inflasi (Inflation Risk) – merujuk kepada risiko kadar inflasi lebih tinggi daripada pulangan pelaburan kita.

 

7.    Risiko Persekitaran (Horizon Risk) – merujuk kepada keadaan-keadaan yang tidak dijangka seperti bencana alam, krisis ekonomi, pandemik yang memberi kesan kepada pelaburan itu.

 

8.    Longevity Risk – merujuk kepada kemungkinan penggunaan dana pelaburan yang lebih lama disebabkan umur panjang sehingga pulangan pelaburan tidak lagi mampu menanggung kos kehidupan pelabur.

 

9.    Risiko Pelaburan Asing – merujuk kepada pelaburan di negara yang mungkin menukar dasar luar mereka sehingga dana di negara itu tidak dapat dikeluarkan dan perlu digunakan dalam negara tersebut.

 

Ini adalah ringkasan sembilan risiko biasa yang disebut dalam mana-mana dokumen pelaburan khususnya bagi pelaburan unit amanah. Namun, di Malaysia terdapat satu jenis risiko pelaburan yang wujud yang perlu diketahui oleh pelabur khususnya pelabur Muslim.

 

Risiko itu adalah risiko ketidakpatuhan Shariah atau Shariah Non-Compliance Risk.

 

Risiko ini merujuk kepada beberapa isu antaranya:

 

1.    Ketidakmampuan penasihat Shariah bersepakat menentukan status Shariah seseuatu pelaburan oleh syarikat pengurus dana.

2.    Perubahan fatwa atau resolusi Shariah yang menukar status pelaburan daripada patuh Shariah kepada tidak patuh Shariah.

3.    Kesilapan atau kecuaian pengurus dana dalam membeli saham atau sekuriti tidak patuh Shariah sehinggalah dijumpai kesilapan itu oleh pegawai pematuhan Shariah atau Penasihat Shariah

 

Kesemua isu ini memberi risiko kepada pelabur di mana pelabur terpaksa menyucikan sebahagian pulangan hasil pelaburan tadi yang telah menjadi tidak patuh Shariah. Sekiranya kita betul-betul membaca prospektus, kita akan mendapati rata-rata pengurus dana atau syarikat akan menyatakan bahawa risiko ini akan ditanggung sepenuhnya oleh pelabur dan mereka tidak akan menanggung liabilti tersebut.

 

Walaupun isu seperti ini sangat jarang berlaku atau mungkin belum pernah menjadi isu umum, elok seandainya risiko ini kita ketahui dalam membuat apa-apa keputusan pelaburan.

 

Antara langkah yang boleh diambil adalah menyemak siapakah badan penasihat Shariah bagi syarikat pengurus dana tersebut, adakah mereka mempunyai kredibiliti atau tidak.

 

Semoga panduan ini membantu kita menjadi pelabur yang celik dalam membuat apa-apa keputusan pelaburan.



Arham Merican

6 Mac 2024

Ditulis oleh

Ditulis oleh

Ditulis oleh

Arham Merican

Arham Merican adalah seorang Penasihat Shariah berdaftar di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Beliau merupakan Pegawai Strategi Sharlife Sdn Bhd dan Pengasas Sampul, aplikasi wasiat digital untuk aset digital. Berpengalaman lebih 8 tahun dalam dunia korporat dan industri kewangan dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Jabatan Shariah, Bursa Malaysia Berhad.

Artikel-artikel oleh

Arham Merican

TIDAK mahu tertinggal?

Dapatkan artikel terkini terus ke emel anda