Shariah

2

min read

Hukum Terjumpa Duit Tercicir

Bagaimana pula dengan pernyataan berbunyi: "Jika jumpa duit, perlu ambil kerana ia rezeki terpijak!. "Benar ia satu bentuk rezeki, namun bukan rezeki ke atas duit itu. Ia adalah peluang kita membuat pahala dengan menjadi pemegang amanah dan membantu mereka yang kehilangan duitnya untuk mendapatkannya kembali. Kepada mereka yang pernah 'terguna' duit yang dijumpainya, andai diketahui pemilik asal, pulangkanlah.

Share article

PERLUKAH penemuan wang serendah RM5 dihebahkan secara besar-besaran? Apa yang perlu dilakukan jika kita menjumpainya?

Dalam situasi itu, kaedah sepatutnya adalah menyerahkan harta tercicir itu pada pihak pengurusan tempat tersebut atau pihak berkuasa seperti polis, tujuannya bagi memastikan pemilik asal kembali dan mencari harta tersebut, beliau boleh menjumpainya semula.

Sebagai contoh, duit tercicir di masjid, pemilik asal mungkin akan kembali dan bertanya kepada ahli jawatankuasa masjid atau seseorang yang kehilangan dompet mungkin akan melaporkannya kepada pihak polis. Menjadi satu kesalahan sikap sebilangan masyarakat yang mengambil jalan mudah dengan memasukkannya ke dalam tabung masjid. Walaupun, ia tindakan yang baik, pendekatan yang sepatutnya adalah memberikannya kepada pihak pengurusan kerana bimbang pemilik asal datang menuntutnya

Mungkin bagi kita RM5 itu kecil, namun bagi pemilik asalnya, kita tidak tahu. Pihak pengurusan pula harus bijak menguruskannya. Ada masjid yang ada papan khas untuk barang-barang hilang, ada juga yang menyimpannya dan apabila ada yang datang menuntut, akan ditanya soalan-soalan berkaitan supaya dapat dipastikan pemilik asalnya.

Perkara ini penting kerana Hifzul Mal atau penjagaan harta merupakan salah satu daripada Maqasid Shariah (tujuan Shariah).

Jelas beliau, Islam sangat menitikberatkan isu pemilikan harta berdasarkan firman ALLAH SWT:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil...” (Surah an-Nisa': 29)

Selain itu, Nabi Muhammad SAW telah menegaskan tentang penjagaan hak harta ini dalam khutbah Wada’.

Sabda Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya darahmu, hartamu dan kehormatanmu terpelihara antara sesama kamu sebagaimana terpeliharanya hari ini, bulan ini dan negerimu ini.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Apakah hukum mengambil dan menggunakan barang tercicir?

Pada asasnya hukum mengambil dan menggunakan barang tercicir adalah haram.

"Namun, ia diharuskan dengan niat bukan untuk kegunaan peribadi tetapi atas dasar menjaga amanah dan ingin memastikan barang itu dapat kembali pada pemilik asal."

Jika barangan yang dijumpai itu rendah nilainya tetapi menjadi tumpuan orang ramai seperti wang yang nilainya kecil, seseorang itu perlu mengumumkan selama mana ia merasakan pemiliknya tidak mahu lagi mencarinya.

Sekiranya barangan yang dijumpai itu rendah nilainya dan barang itu tidak menjadi tumpuan orang ramai dan mudah rosak seperti tali, kayu atau makanan, ia tidak harus mengumumkannya.

Bagaimana pula dengan pernyataan berbunyi: "Jika jumpa duit, perlu ambil kerana ia rezeki terpijak!."

Benar ia satu bentuk rezeki, namun bukan rezeki ke atas duit itu.

Ia adalah peluang kita membuat pahala dengan menjadi pemegang amanah dan membantu mereka yang kehilangan duitnya untuk mendapatkannya kembali. Kepada mereka yang pernah 'terguna' duit yang dijumpainya, andai diketahui pemilik asal, pulangkanlah.

Jika tidak diketahui pemiliknya, kembalikanlah ke tempat duit itu dijumpai dan buatlah hebahan selama tiga hari atau lebih mengikut anggaran nilai barang tersebut. Tanyakanlah kepada pihak pengurusan tempat itu sekiranya ada yang datang mencari.

Sekiranya di dalam jangka waktu itu tidak ada orang yang menuntut, maka, ia perlu berazam untuk membayarnya kembali sekiranya ia dituntut atau serahkan nilai duit itu kepada Baitulmal.

Wallahu a'lam

Arham Merican

6 Mac 2024

Ditulis oleh

Ditulis oleh

Ditulis oleh

Arham Merican

Arham Merican adalah seorang Penasihat Shariah berdaftar di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Beliau merupakan Pegawai Strategi Sharlife Sdn Bhd dan Pengasas Sampul, aplikasi wasiat digital untuk aset digital. Berpengalaman lebih 8 tahun dalam dunia korporat dan industri kewangan dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Jabatan Shariah, Bursa Malaysia Berhad.

Artikel-artikel oleh

Arham Merican

TIDAK mahu tertinggal?

Dapatkan artikel terkini terus ke emel anda