Kewangan

3

min read

Cara Mengenal Scam Dalam Shariah

Terbaru menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, bagi tempoh Januari sehingga November 2019, jenayah penipuan Macau Scam di daerah itu meningkat 57 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dengan peningkatan sebanyak sembilan kes, manakala nilai kerugian menurun daripada RM3.9 juta pada 2018 kepada RM2 juta bagi tempoh sehingga November 2019.

Share article

Berdasarkan satu kajian daripada syarikat telekomunikasi Telenor Group, rakyat Malaysia amat mudah diperangkap sindiket penipuan. Hampir setiap hari, ada sahaja berita mengenai rakyat Malaysia ditipu hampir ratusan ribu Ringgit.

 

Terbaru menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, bagi tempoh Januari sehingga November 2019, jenayah penipuan Macau Scam di daerah itu meningkat 57 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dengan peningkatan sebanyak sembilan kes, manakala nilai kerugian menurun daripada RM3.9 juta pada 2018 kepada RM2 juta bagi tempoh sehingga November 2019.

 

Macau Scam adalah satu di antara ratusan scam yang melibatkan skim pelaburan atau skim cepat kaya di Malaysia. Secara asasnya ia boleh dinamakan sebagai SKIM PONZI. SKIM PONZI adalah skim yang distruktur bagi memastikan wang daripada orang bawah digunakan bagi memberi pulangan kepada orang atas.

 

Beberapa contoh kaedah skim Ponzi seperti berikut:

 

-skim pelaburan emas

-skim pelaburan berasaskan FOREX

-skim dana sedekah

-skim pelaburan projek

-skim belian semula produk

-skim MLM/binary/matriks yang biasanya dikenali dengan yuran keahlian yang tinggi dan harga produk yang tinggi.

 

Persamaan modus operandi mereka antaranya pertama, terdapat keperluan mencari ahli baru. Jika tidak perlu, adanya insentif yang tinggi disediakan bagi ahli yang dapat mencari ahli baru. Kedua, terdapat obligasi atau yuran keahlian daripada ahli dan bayaran bulanan kepada ahli yang akan ditunaikan pada peringkat awal bagi membina keyakinan. 

 

Persamaan lain yang boleh didapati adalah kadar keuntungan skim seperti ini sangat tinggi, jauh mengalahkan skim pelaburan unit amanah atau pelaburan biasa yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti.

 

PANDUAN SHARIAH

 

Secara umum, apa-apa aktiviti ekonomi seperti pelaburan dalam Islam perlu bebas daripada tiga elemen iaitu Riba,Gharar, Maysir, dan Ghabn.

 

Elemen Riba yang terdapat dalam skim cepat kaya adalah tukaran wang dengan wang. Yuran keahlian dan jumlah ‘pelaburan’ ditukar dengan kadar keuntungan yang tetap dan telah dijanjikan adalah unsur Riba yang jelas terdapat dalam skim ini.

 

Biasanya apabila ditanya kepada sektor atau bisnes apa wang pelaburan kita dilaburkan? Susah untuk kita mendapat jawapan yang jelas dan terperinci. Berbeza dengan pelaburan saham contohnya di mana syarikat diwajibkan memaparkan Laporan Kewangan mereka masing-masing yang diaudit dan mempunyai pengawal selia.

 

Hakikatnya ia adalah Money Game di mana wang pelaburan ahli baru yang akan digunakan bagi membayar keuntungan kepada ahli lama.

 

Elemen kedua adalah Gharar. Gharar adalah ketidakjelasan dalam sesebuah kontrak melibatkan hasil dan implikasi. Ketidakjelasan ini haram kerana akan membawa kepada pertikaian dan pergaduhan. 

 

Elemen ini didapati daripada maklumat-maklumat yang tidak jelas berkaitan aktiviti bisnes sesebuah syarikat yang mempromosi skim ini dan kesamaran pelaburannya. Sebaliknya yang jelas adalah pulangan ‘pelaburan’ tetap dan tinggi dan insentif ahli baru atau lebih dikenali sebagai system Piramid.

 

Seterusnya adalah elemen Maysir. Maysir adalah perjudian atau membawa maksud seseorang yang memperoleh keuntungan hasil daripada kerugian orang lain. 

 

Elemen ini biasanya kita boleh dapati di penghujung hayat skim atau scam yang mana berita mangsa atau ahli ditipu atau ahli lama yang telah lama tidak mendapat pulangan. Ia cerita biasa dan cerita yang akan diulang-ulang di bawah nama skim berbeza-beza.

 

Akhir sekali, elemen Ghabn. Secara istilah ia bermaksud jualan produk yang melebihi daripada nilai kebiasaan yang biasa dijual oleh masyarakat. Dalam Shariah ia diharamkan kerana terdapat unsur-unsur penipuan dan manipulasi dalam urus niaga.

 

Ghabn biasanya wujud dalam skim pelaburan yang menggunakan produk sebagai topeng untuk skim ponzi mereka. Barang diminta untuk dibeli untuk memberi sebab mendapatkan duit ‘pelaburan’. Hakikatnya harga barang tersebut tidak muhasabah da nada skim yang menjual barangan yang pembeli tidak mahu gunakan.

 

Isu shariah paling jelas adalah elemen Riba. Kebiasannya skim seperti ini tidak mempunyai sebarang aktiviti pelaburan yang menjana keuntungan, maka hakikatnya ia adalah satu bentuk pinjaman dan hasil lebihan yang diperoleh oleh ‘pelabur’ daripada pinjaman itu dikira sebagai Riba. . 

 

Kadar untung yang disandarkan kepada modal yang telah ditetapkan dan diketahui jumlahnya di awal kontrak adalah ciri-ciri Riba. Pelaburan dalam Islam sama ada atas prinsip Mudharabah atau Musyarakah adalah pulangan sekiranya ada akan dibahagikan daripada hasil untung sebenar, bukan daripada modal. Juga dalam segala pelaburan adanya risiko kerugian.

 

Semoga artikel ini membantu kita dan menyelamatkan kita daripada ditipu skim dan scam cepat kaya.

Arham Merican

5 Mac 2024

Ditulis oleh

Ditulis oleh

Ditulis oleh

Arham Merican

Arham Merican adalah seorang Penasihat Shariah berdaftar di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Beliau merupakan Pegawai Strategi Sharlife Sdn Bhd dan Pengasas Sampul, aplikasi wasiat digital untuk aset digital. Berpengalaman lebih 8 tahun dalam dunia korporat dan industri kewangan dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Jabatan Shariah, Bursa Malaysia Berhad.

Artikel-artikel oleh

Arham Merican

TIDAK mahu tertinggal?

Dapatkan artikel terkini terus ke emel anda