Kewangan

2

min read

Bursa Suq Al-Sila'

Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS) adalah himpunan daripada perkataan bahasa arab iaitu Bursah yang bermaksud platform, Suq yang bermaksud pasaran dan Al-Sila’ yang bermaksud komoditi. Secara umumnya BSAS berperanan sebagai platform yang menjalankan urus niaga perdagangan komoditi terutamanya dalam transaksi perbankan yang melibatkan kontrak Tawarruq atau Commodity Murabahah.

Share article

Pernah dengar tentang Bursa? Bagaimana pula dengan Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS)?

Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS) adalah himpunan daripada perkataan bahasa arab iaitu Bursah yang bermaksud platform, Suq yang bermaksud pasaran dan Al-Sila’ yang bermaksud komoditi. Secara umumnya BSAS berperanan sebagai platform yang menjalankan urus niaga perdagangan komoditi terutamanya dalam transaksi perbankan yang melibatkan kontrak Tawarruq atau Commodity Murabahah.

BSAS telah dilancarkan secara rasmi pada 17 Ogos 2009 oleh sekumpulan pakar industry kewangan Islam bagi pihak Bursa Malaysia dengan kerjasama Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. BSAS mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 112.2 peratus sejak penubuhannya.

BSAS diinspirasikan oleh platform London Metal Exchange ditubuhkan sebagai pemudah cara transaksi dalam perbankan Islam dengan menyediakan kemudahan pengurusan kecairan kewangan dan penstrukturan produk perbankan Islam seperti deposit tetap, pembiayaan, pelaburan, Sukuk dan sebagainya. BSAS dilaksanakan menerusi aplikasi atas talian bagi urus niaga perdagangan komoditi terutamanya minyak sawit mentah (crude palm oil).

Fungi utama BSAS adalah membantu melancarkan urus niaga kewangan yang dijalankan berdasarkan kontrak Tawarruq atau Commodity Murabahah dengan cara menyediakan lebih 20 jenis aset pendasar (underlying asset) atau komoditi bagi transaksi ini. Antara aset pendasar yang disediakan adalah minyak sawit mentah, polyethelyne (plastic resin), biji kopi, getah, tembaga, zink, dan sebagainya. 

Kesemua komoditi tersebut wujud dan boleh dikenal pasti, boleh dimiliki sebelum dijual, kualiti boleh ditentukan, piawaian dan nilai dan boleh dihantar dan diserahkan kepada pembeli. Secara ringkas, mekanisme Tawarruq atau Commodity Murabahah yang melibatkan BSAS adalah seperti berikut: 

1.     Pelanggan bernama Ahmad pergi ke Bank bagi memohon pembiayaan peribadi sebanyak RM10,000.

2.     Bank dengan menggunakan platform BSAS, membeli komoditi bernilai RM10,000.00 daripada pembekal komoditi.

3.     Seterusnya Bank menjual komoditi tersebut kepada Ahmad dengan harga RM13,00.00 (principal+kadar keuntungan) dan bayaran akan dibuat secara bertangguh (instalment).

4.     Ahmad mempunyai hak dan pilihan untuk mengambil komoditi tersebut sekiranya berhasrat untuk menyimpan komoditi. Sekiranya Ahmad ingin mendapatkan tunai,  beliau akan terus menjual komoditi kepada pembekal komoditi melalui platform BSAS dengan melantik Bank sebagai wakilnya untuk membantu beliau menjual komoditi tadi.

5.     Bank yang bertindak sebagai wakil Ahmad akan menjual komoditi kepada pembekal komoditi melalui BSAS pada harga RM100,000.00 secara tunai dan tunai tersebut akan dikreditkan ke akaun Ahmad.

Begitulah secara ringkas mekanisme pembiayaan berasaskan Tawarruq atau Commodity Murabahah dengan menggunakan BSAS. Mekanisme ini adalah apa yang berlaku di belakang kaunter ketika kita ke Bank dan meminta pembiayaan sama ada ia pembiayaan peribadi, pembiayaan kereta, pembiayaan bisnes, dan pembiayaan rumah.

Setiap transaksi penjualan dan pembelian komoditi di BSAS dikawalselia dengan ketat dan dibuktikan dengan sijil pemilikan yang khusus untuk setiap transaksi. Sijil pemilikan ini membuktikan pemilikan setiap individu atau institusi ke atas komoditi yang dijual dan dibeli. Selain itu, BSAS juga mempunyai garis panduan pelbagai yang harus dipatuhi oleh setiap pihak yang terlibat dengan platform ini.

Senarai garis panduan itu boleh dilihat di sini: https://www.bursamalaysia.com/bm/regulation/islamic_market/rules_of_bursa_suq_al_sila

BSAS telah menerima banyak anugerah dalam dan luar negara. Antaranya anugerah “Most Outstanding Islamic Finance” di Kuala Lumpur International Islamic Finance Forum (KLIFF) kali ke-7, Anugerah Inovasi Islam bagi kategori “Muamalat Financial Management System Innovative Product” oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, dan Anugerah “Market Innovation” daripada majalah The Asset Triple A.

Pengiktirafan ini menunjukkan komitmen tinggi pakar-pakar kewangan Islam dalam memartabatkan industry kewangan Islam di Malaysia seterusnya menjadikan Malaysia hub-utama industry kewangan Islam di dunia.

Arham Merican

5 Mac 2024

Ditulis oleh

Ditulis oleh

Ditulis oleh

Arham Merican

Arham Merican adalah seorang Penasihat Shariah berdaftar di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Beliau merupakan Pegawai Strategi Sharlife Sdn Bhd dan Pengasas Sampul, aplikasi wasiat digital untuk aset digital. Berpengalaman lebih 8 tahun dalam dunia korporat dan industri kewangan dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Jabatan Shariah, Bursa Malaysia Berhad.

Artikel-artikel oleh

Arham Merican

TIDAK mahu tertinggal?

Dapatkan artikel terkini terus ke emel anda